Saya nak berkongsi satu cerita.
Kisah ini berlaku semasa saya masih bertugas di Putrajaya. Tugasan yang diterima adalah untuk menjadi Pegawai Penyiasat bagi satu kes yang melibatkan aktiviti penyeludupan pasir. Aktiviti haram ini banyak berlaku secara berleluasa di Selangor pada masa itu.
Siasatan yang dijalankan mengambil masa yang agak lama memandangkan ramai saksi yang terlibat dan dipanggil untuk memberi keterangan.
Di akhir kes, siasatan ini telah berjaya membawa kepada pertuduhan di mahkamah. Seorang pengusaha pasir secara haram berbangsa cina telah berjaya disabitkan. Beliau telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda dan penjara 1 bulan.
Beberapa bulan kemudian berlalu.
Semasa berada di pejabat, saya telah didatangi oleh seseorang. Seorang lelaki berbangsa cina. Pada mulanya saya tidak kenal. Setelah diamati betul-betul, barulah di cam. Namanya tidak perlulah dinyatakan di sini. Cukupla dikenali sebagai Ah Teck sahaja (bukan nama sebenar). Dialah pengusaha pasir haram itu.
Saat ternampak saja saya, dia menjerit memanggil, "Tuan". Sambil tersenyum dia menghampiri saya. Saya menghulurkan salam, dia tak menyambutnya. Sebaliknya memeluk saya. Agak terpana seketika.
"Terima kasih tuan".
Tu perkataan pertama yang diucapkan. Kenapa pula, soal saya dalam hati. Sudahlah saya yang membuatkan dia dipenjara.
"Tuan sihat, lama tak jumpa". Sambungnya lagi selepas dakapannya terlerai "ok je, balas saya kembali.
Lalu dia menyambung lagi perbualan kami.
"Saya bersyukur tuan, sebab tuan tangkap saya. Sekarang saya dah berubah. Saya dah tak buat kerja macam dulu lagi. Dah insaf."
"Dulu saya banyak duit tuan. Saya pun suka minum, banyak mabuk. Tiap hari balik rumah pun isteri bising. Sekarang tak dah. Saya dah buat kerja lain, yang betul. Saya buat bisnes import export barang dari China".
Saya termenung dan masih mendengar ceritanya. Tanpa mencelah. Sesekali mengangguk kepala. Masih tekun mendengar.
Dia menyambung lagi bercerita, "Bisnes ni untungnya tak macam dulu tuan. Tapi sekarang saya tenang. Saya pun dah tak minum mabuk-mabuk lagi. Isteri saya pun dah ok dengan saya". Dalam bercerita tu, saya perasan matanya agak berkaca. Kelihatan air matanya bergenang. Nampak jujur dalam berkata-kata.
Masih lagi mendengar, tak banyak yang saya katakan. Sekadar mengiayakan sahaja.
Kami berbual-bual seketika dan dia meminta diri untuk beredar.
Akhirnya sekali, sebelum dia berlalu pergi dia ada berkata, " Tuan, jaga diri. Nanti senang-senang kita jumpa lagi. Don't worry tuan, saya tak ada simpan marah atau dendam sama tuan. Saya bersyukur saya kena tahan. Tuan pun layan saya baik semasa saya ditahan.
Dan itulah kali terakhir saya berjumpa dengannya..
Semoga ada iktibar dan pengajaran dapat kita sama-sama ambil dari kisah Ah Teck ni.